When u c Blue, u'll remember the Sky, when u'll c the Sky u'll surely remember me..BLUESKY

Tuesday, July 01, 2008

Perlukah diadakan Kenduri Arwah..???

Assalamualaikum Bro's & Sis's of Islam
Terkedu dan pernah juga terfikir dalam benak hati, namun kerana kenaifan Bluesky di bidang agama Bluesky teringat akan soalan yang pernah diajukan pada Bluesky.
Lantaran itu, walaupun sedikit kesibukan dengan tugasan, Bluesky meluangkan masa mencari jawapan yang mungkin atau mengundang pelbagai pandangan dan polemik serta emosi kurang senang banyak pihak.
Namun atas landasan mencari ilmu termasuk mahu berkongsi bersama, Bluesky kutip beberapa pendapat yang boleh dijadikan panduan kepada semua. (segala kesilapan dan kelemahan mohon tunjuk dan maafkan)
Amalan membebankan keluarga si mati
Dalam laman blog dikenali sebagai Institut Al-Imam Syafie (Intis) seorang Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Abdullah Bukhari Abdul Rahim menulis amalan kenduri arwah ini sudah pasti menyusahkan keluarga si mati yang masih lagi bersedih dengan kehilangan orang tersayang.
Katanya Rasulullah s.a.w ketika mendengar berita kematian Jaafar ibn Abi Talib, baginda bersabda: "Persiapkan makanan untuk keluarga Ja'far, kerana sesungguhnya mereka telah didatangi dengan apa yang menyibukkan mereka (kesusahan)." - Hadith riwayat al-Tirmidhi & Abu Dawud.
Keluarga si mati yang baru ditimpa musibah(al-Baqarah:155-157) perlu disokong dan dibantu.
Amalan di sesetengah tempat ini adalah salah, kerana katanya kesedihan keluarga si mati akan ditambah lagi dengan kesedihan lain seperti bebanan kewangan kerana perlu membayar upah orang membaca al-Quran, sembahyang jenazah dan kenduri arwah.
"Budaya mengadakan kenduri arwah bersempena kematian pada malam pertama, malam Jumaat, malam ketujuh, malam ke-40 dan malam ke-100 juga tidak mempunyai asas sama sekali dalam Islam," katanya yang dipetik dari laman web tersebut.
Amalan itu membawa kepada pembaziran jika membabitkan penggunaan harta si mati tanpa jalan yang betul dan membabitkan penganiayaan harta anak yatim malah Majlis Fatwa Mesir pada 1947 memutuskan bahawa amalan berkenaan perlu dihentikan.
Ulama mazhab Syafie melarang kenduri arwah.
Rujukan katanya boleh dibuat terhadap Kenyataan bekas Mufti Mesir Syeikh Hasanain Makhluf di dalam akhbar al-Ahram bertarikh 27 Julai 1947 dan Fatwa ini kemudian disahkan oleh Majlis Fatwa Mesir dan dikeluarkan dengan rasminya pada 14 Ogos 1947, bilangan 377.
Katanya lagi Ulama mazhab Syafie melarang budaya ini sebagaimana dipetik daripada buku Feqah Mazhab Syafie, al-Fiqh al-Manhaji.
Antara petikan kitab tersebut yang berbunyi:"Daripada bidaah apa dibuat keluarga si mati ialah dengan mengumpulkan orang ramai kepada makanan dengan upacara dinamakan berlalunya 40 hari dan seumpamanya."
"Sekiranya perbelanjaan makanan itu daripada harta peninggalan (si mati) dan di kalangan waris ada yang belum baligh, maka itu adalah dari perkara lebih haram.
"Ini kerana ia memakan harta benda anak yatim dan melenyapkannya bukan untuk kepentingan anak yatim itu. Terbabit juga dalam melakukan perbuatan haram ini setiap yang memanggil dan memakannya." ( rujukanjil 1/ ms 263, Damsyik: Dar al-Qalam).
Dalam pada itu pada Jun 2005 blog tersebut turut memetik ruangan Tazkirah di bawah tajuk 'Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama' oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merujuk kepada pengarang kitab at-Tazkirah iaitu Al-Qurtubi berhubung isu kenduri arwah.
"Dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah.
"Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan, " kata Nik Aziz.
Kenyataan pahit dan mengejutkan.
Kenyataan ini kata Nik Aziz mungkin agak keras dan pahit serta boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah.
"Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah," katanya
"Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian," katanya lagi,
Kata Nik Aziz lagi sungguhpun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.
"Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w.?" katanya membangkitkan persoalan. Soalnya lagi jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil.
"Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah s.a.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya," katanya.
Bagi umat Islam marilah berlapang dada dalam menghadapi persoalan agama dengan menghayati petikan ayat daripada surah An-Nisaa' 4:59 :-
"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah RasulNya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." - mks.
Semoga apa yang Bluesky catitkan disini dapatlah sama2 kita renungkan dan jangan lah setakat mengunakan akal untuk berfikir saja sebaliknya semaklah jika anda ada kemushkilan dalam diri.
Bluesky Berlalu...

Labels:

Kenalilah jenis tudungmu...

Assalamualaikum Bro's & Sis's of Islam

Bluesky ingin berkongsi isu ini bersama wanita2 ISLAM tak kira dimana mereka berada...

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Sesekali pembaca diajak untuk 'keluar' daripada kelaziman membicarakan isu-isu dan politik semasa sebagai satu riadah minda malah sebagai panduan untuk meneruskan gaya hidup yang berlandaskan agama mengikut tuntutan Allah dan RasulNya.

Mungkin telah dibincang ataupun sudah menjadi mangli bagi kaum hawa namun sesekali eloklah direnungkan mudah-mudahan sebarang kesilapan dan kelemahan diperbetulkan supaya akhirnya mendapat keredhaan Allah, menjadi wanita solehah dan muslimah sejati.

Perbahasan berkenaan sama ada tudung muslimah itu patut labuh atau berbentuk tiga segi hanyalah skop yang kecil berbanding bagaimana cara penutupan aurat itu seharusnya diimplikasi secara keseluruhannya supaya menepati roh syariat yang sebenar.

Oleh itu wahai kekasihku terdiri daripada kaum ibu, adik-adik, kakak, isteri dan kekasih serta kawan-kawan marilah sama-sama memerhatikan beberapa gelaran jenis tudung yang boleh dilihat dalam realiti masyarakat hari ini yang perlu diperbetulkan oleh kalangan kaum hawa (dipetik daripada laman web ibnyusof.blogspot.com):-

1. Tudung 'Mickey Mouse' -

Pemakaian tudung yang hanya menutup bahagian rambut dan kepala tanpa menutup kedua-dua telinga.Barangkali untuk menunjukkan subang atau apa-apa perhiasan. Pemakaian yang lebih teruk ialah apabila tudung tersebut dililit sehingga menampakkan leher.

2. Tudung Lilit -

Jenis tudung ini jika dilihat telah menutup keseluruhan kepala termasuk telinga tetapi tidak dilabuhkan menutup dada dan hanya dililitkan di leher sahaja.Kriteria menutup dada tidak dipenuhi seolah-olah ingin menayangkan kurniaan yang tidak diberikan kepada kaum lelaki.

3. Tudung 'See Through' -

Salah satu jenis tudung yang popular ini banyak dilihat di merata tempat,kain tudung yang nipis menampakkan leher dan telinga walaupun telah menutup lengkap.Lebih teruk jika tidak memakai anak tudung kerana ianya seperti tiada beza dengan mereka yang tidak bertudung.

4. Tudung Jambul -

Pemakaian jenis ini banyak dipromosikan dalam drama-drama Melayu yakni menutup separuh rambut di bahagian belakang dengan membiarkan yang depannya tersembul keluar seperti jambul unta.

5. Tudung 'Singlet' -

Tudung yang sempurna tetapi dengan hanya memakai lengan pendek menyebabkan aurat dan lain-lain perhiasan yang sepatutnya ditutup daripada menjadi tatapan umum.Tiada kelongaran hukum tentang penutupan aurat di kawasan awam hatta hanya untuk bersukan.

6. Tudung Saji -

Sekejap pakai, sekejap tidak.Tudung atau lebih tepat dikatakan selendang yang hanya menjadi perhiasan leher. Boleh dilihat di kenduri-kenduri kematian yang mana selendang tersebut akan turun dan naik diangkat si pemakai seolah-olah menjadikannya seperti tudung mengikut keperluan situasi.

Inilah serba sedikit pemakaian tudung yang kurang sempurna dan perlu diperbetulkan bagi menepati roh syariat yang sebenar sekaligus menggapai hikmah disebalik penetapan kewajiban menutup aurat. Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda :

"Pada akhir umatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakain namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka seperti pundak unta. Kutuklah mereka karena sebenarnya mereka adalah kaum wanita yang terkutuk."(At-Thabrani Al-Mujamusshaghir : 232)

Selain itu kata laman web terbabit ada juga muslimah bertudung di kalangan kita yang memakai seluar jeans dan sebagainya sehingga menampakkan susuk tubuh mereka dan alasan kepada pemakaian tersebut tidak lebih hanya sekadar untuk menjalani rutin harian.

"Inilah kejayaan musuh Islam apabila perkara ini ummat Islam menganggapnya sesuatu perkara yang biasa dan remeh dalam masyarakat.Perkara yang dianggap biasa ini menular dalam pemikiran masyarakat sehingga konsep penutupan aurat yang sempurna itu dicabuli dengan mudah," kata laman ibnyusof.blogspot.com

Semoga kaum hawa tidak lupa kepada Firman Allah yang jelas:-
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.Dan hendaklah mereka menutupkan Al-Khimar kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka..."

Bluesky berlalu...

Labels: